Umrah – Pengertian dan Persiapan Sebagai Rakyat Malaysia ke Sana
Gambar Kaabah
Gambar Kaabah

Umrah Dari Segi Pengertian

Umrah dari maksud bahasa ialah ziarah. Dari segi syarak pula, adalah bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu semasa menunaikan ibadah haji. Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

Syarat-syarat Wajib Umrah

Islam telah menggariskan lima syarat wajib umrah. Antaranya ialah beragama Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan (istito’ah).

Seperti yang kita ketahui, mengerjakan haji dan umrah bagi yang berkemampuan merupakan Rukun Islam yang kelima.

Pengertian berkemampuan di sini adalah berkemampuan atas diri sendiri ATAU berkemampuan atas bantuan orang lain.

Berkemampuan atas diri sendiri bererti kita berupaya dari sudut kewangan, sihat tubuh badan dan lain-lain.

Manakala, berkemampuan dengan bantuan orang pula adalah seperti mereka yang tidak berupaya untuk melakukan sendiri ibadah tersebut. Seperti mereka yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh, terlalu tua/uzur serta meninggal dunia dan tidak dapat mengerjakan ibadah umrah semasa hayat mereka.

Berapakah Rukun Umrah?

Rukun umrah yang digariskan dalam Islam ada lima.

Pertama,

Niat ihram umrah. Lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku menunaikan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.

Kedua,

Tawaf umrah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad.

Terdapat beberapa syarat sah tawaf seperti menutup aurat, suci daripada hadas besar dan kecil, mengekalkan niat tawaf, cukup tujuh pusingan dengan yakin dan sebagainya.

Ketiga,

Sa’ie umrah. Sa’ie memberi maksud berjalan ulang-alik atau berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali.

Perbuatan sa’ie juga mempunyai syarat sah seperti bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah, cukup tujuh kali ulang-alik dengan yakin, hendaklah dilakukan ditempat yang disediakan dan lain-lain lagi.

Keempat,

Bergunting atau bercukur. Dalam rukun ini, hendaklah kita menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Disunatkan kepada jemaaah lelaki untuk bercukur.

Perbuatan ini hendaklah dilakukan setelah selesai tawaf dan sa’ie umrah.

Kelima,

Akhir sekali, tertib. Iaitu mengerjakan rukun-rukun umrah mengikut susunan bermula daripada niat, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting.

Sebagai pengetahuan, rukun umrah merupakan perkara asas yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan asasi umrah.Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak maka tidak sah umrah tersebut.

Apakah itu Wajib Umrah?

Wajib umrah pula mempunyai dua perkara iaitu berniat ihram di Miqat dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram.

Miqat bermaksud sempadan bagi ibadat haji ataupun umrah. Sekiranya berniat melepasi Miqat, kita dikehendaki untuk membayar dam iaitu denda.

Terdapat tiga belas larangan ihram yang wajib kita ketahui antaranya dilarang membunuh binatang, dilarang merosakkan tanam-tanaman, dilarang memotong kuku dan lain-lain lagi.

Perbezaan di antara Rukun dan Wajib Umrah?

Sebagai pengetahuan tambahan, rukun umrah merupakan perkara asas yang perlu ditunaikan oleh mereka yang melaksanakan asasi umrah. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak maka tidak sah umrah tersebut manakala wajib umrah ialah perkara yang wajib dilakukan semasa menunaikan umrah.

Sekiranya tidak dilaksanakan dengan sengaja, sah umrah akan tetapi berdosa. Sekiranya tidak sengaja, ianya tidak berdosa akan tetapi wajib untuk membayar dan mengikut kadar yang ditetapkan.

Keperluan Umrah yang perlu dibawa (Wanita)?

  • Pakaian
  • Barangan kelengkapan diri (Toiletries)
  • Ubat-Ubatan
  • Barang keperluan penting


Pakaian

  • Telekung solat (Raudah mini, Pasteleena mini)
  • Tudung (dipakai semasa ziarah atau makan)
  • Anak tudung
  • Baju kurung/Jubah
  • Baju tidur
  • Stokin
  • Kain batik
  • Pakaian dalam

Barangan kelengkapan diri (Toiletries)

  • Spray wuduk bottle
  • Tuala kecil
  • Kapak muka
  • Ubat gigi
  • Berus gigi
  • Vaseline (untuk tapak kaki)
  • Facial mask

Ubat – ubatan

  • Minyak angin/yoko-yoko
  • Hand sanitizer
  • Ubat batuk
  • Ubat selsema
  • Vicks

Barang keperluan penting

  • Sejadah mini
  • Buku panduan umrah
  • Botol minuman
  • Bekas makanan
  • Kamera
  • Buku panduan solat sunat & surah Yassin
  • Gunting kecil (untuk tahalul)
  • Tasbih Digital

Tips mudah ingat untuk persediaan menunaikan Umrah?

  • Niat
  • Ilmu
  • Sempurna rukun
  • Kewangan
  • Imuninasi dan kesihatan
  • Passport dan visa
  • Solat
  • Taubat Nasuha
  • Sabar /kawal perasaan
  • Bersenam
  • Doa dan tawakal

Apabila di Mekah?

Tawaf Umrah

Amalan umrah pertama dilakukan oleh jemaah setibanya di kota suci mekah ialah tawaf. Maksud tawaf ialah mengelilingi kaabah dengan syarat-syaratnya

Apabila jemaah melihat kaabah, maka sunat membaca doanya.

“Sahaja aku tawaf Baitullah tujuh keliling tawaf umrah kerana Allah Taala“

Syarat – syarat Tawaf

  1. Suci daripada hadas besar dan kecil
  2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf
  3. Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
  4. Tawaf hendaklah dimulakan pada sudut Hajarul Aswad.
  5. Sewaktu berjalan melakukan tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
  6. Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
  7. Cukup tujuh keliling dengan yakin
  8. Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar dari bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan. *Semasa tawaf tidak boleh menyentuh bangunan kaabah,kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan.

Sunat – sunat Tawaf

  1. Tawaf dengan berjalan kaki
  2. Berittiba’ (memakai pakaian ihram dalam keadaan membuka bahu sebelah kanan) bagi lelaki sepanjang tawaf.
  3. Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan pertama(1), kedua(2) dan ketiga(3). Pada pusingan keempat(4) hingga ketujuh(7) jemaah lelaki berjalan seperti biasa.
  4. Membaca doa dan wirid.
  5. Berturut – turut tujuh pusingan tawaf tersebut.
  6. Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk
Perjalanan dari Safa ke Marwa
Perjalanan dari Safa ke Marwa

Pengertian Saie

Berjalan ulang alik di antara bukit Safa dengan Marwah.

Syarat – syarat Saie

  1. Hendaklah dilakukan selepas melakukan tawaf
  2. Mulai daripada Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah
  3. Cukup tujuh kali dengan yakin, iaitu dikira dari Safa ke Marwah sekali dan dari Marwah je Safa sekali.
  4. Hendaklah Saie sehingga sampai ke penghujung tempat saie di Bukit Safa dan Bukit Marwah pada tiap-tiap kali.
  5. Hendaklah Saie di tempat yang ditentukan sekarang.
  6. Mengekalkan niat untuk bersaie sepanjang masa melakukan saie.

Sunat – sunat Saie

  1. Keluar ke tempat saie melalui Pintu Safa
  2. Menaiki Bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke batu batu bukit.
  3. Berlari – lari anak bagi lelaki (tidak bagi wanita) apabila sampai di suatu tempat yang bertanda lampu hijau.
  4. Berturut – turut (Muwalat) antara pusingan saie.
  5. Suci daripada hadas besar dan kecil serta menutup aurat.
  6. Berjalan kecuali uzur. Maka boleh menggunakan kenderaan seperti kerusi roda.
  7. Berdoa
  8. Berittiba

Sebelum pulang dari kota suci Mekah (Tawaf Wadak)

  1. Sebelum meninggalkan kota suci Mekah, jemaah wajib melakukan tawaf wadak dengan mengikuti syarat-syarat dan sunat – sunat tawaf yang telah disebutkan sebelum ini. Niatnya “Sahaja aku tawaf wadak tujuh keliling kerana Allah taala”
  2. Tawaf wadak ini dilakukan selepas segala persiapan untuk pulang ke tanah air sudah dilakukan seperti beg – beg sudah dikemaskan, urusan membeli – belah sudah selesai dan pelbagai lagi urusan.
  3. Tawaf wadak ini terdapat sedikit perbezaan dengan Tawaf umrah, iaitu :
  • Memakai pakaian biasa dengan menutup aurat. Bukan memakai kain ihram.
  • Tidak melakukan ittiba’ (membuka bahu sebelah kanan) bagi lelaki sebab jemaah memakai pakaian biasa.
  • Tiada perbuatan berlari lari anak bagi lelaki pada pusingan pertama(1), kedua(2) dan ketiga(3)

Credit : https://fadzbiz.com/checklist-keperluan-umrah-yang-perlu-dibawa-wanita/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Join Waitlist We will inform you when the product arrives in stock. Please leave your valid email address below.